ABOUT ISN SARAWAK

By ISN Sarawak Satellite Centre on 10:51 PM

Filed Under:



Pusat ISN Satelit Sarawak telah mula beroperasi sejak 01  Mei 2006. Pada awalnya pusat ini beroperasi dengan menumpang bilik gymnasium yang telah sedia ada di Dewan Suarah Kuching. Unit pertama yang ditubuhkan di Pusat ISN Satelit Sarawak ialah Unit Psikologi yang di ketuai oleh Encik Frederick Tan selaku Ketua Pusat. Selepas penubuhan Unit Psikologi, pusat ini mula menawarkan perkhidmatan Unit Fisiologi yang diketuai oleh Encik Joshua Philip. Selepas setahun 8 bulan kemudian, pusat ini telah dilancarkan dan dirasmikan dengan bangganya pada 11 September 2007 oleh Y.B. Datuk Liow Tiong Lai, iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Kementerian Belia dan Sukan. 

Pada masa kini, Pusat Satelit ISN Sarawak masih beroperasi di dewan suarah bersebelahan dengan Pejabat Majlis Sukan Negeri Sarawak. Bilangan kakitangan ataupun tulang belakang Pusat Satelit ISN Sarawak pada masa ini ialah seramai 9 orang, yang terdiri daripda 6 orang pegawai sukan, 1 orang Penolong Pegawai dan 2 orang pembantu tadbir. Pusat ini berdiri teguh dengan perkhidmatan Sains Sukan yang terdiri daripada, 3 unit perkhidmatan, iaitu Unit Psikologi yang mana menyediakan perkhidmatan psikologi sukan kepada atlet dengan membina dan memantapkan keupayaan mental mereka, Unit Fisiologi menyediakan perkhidmatan untuk melihat sejauh mana ketahanan fizikal atlit melalui ujian yang dijalankan. Manakala Unit Pemakanan Sukan pula menyediakan sokongan pemakanan kepada atlet bagi memenuhi keperluan pemakanan dalam meningkatkan prestasi sukan yang optimum. 

Pusat Satelit ISN adalah cawangan yang menawarkan perkhidmatan sains dan perubatan sukan di peringkat negeri. Pendedahan awal ini adalah wajar bagi atlet di peringkat negeri agar implementasi asas sains dan perubatan sukan dapat dimanfaatkan bagi mencapai kecemerlangan sukan dari peringkat akar umbi ke peringkat yang lebih tinggi. Misi Pusat Satelit ISN ialah memperluas dan mengukuhkan asas sokongan sains sukan dan perubatan sukan di peringkat negeri. Manakala objektif khusus ialah, memperkenalkan ISN sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang Sains Sukan dan Perubatan Sukan di peringkat negeri. Memberi perkhidmatan yang berkualiti dalam bidang Sains Sukan dan Perubatan Sukan. Menjalankan penyelidikan  dan kajian dalam bidang Sains Sukan dan Perubatan Sukan di peringkat negeri. Merancang dan mengendalikan kursus-kursus profesional dan akademik dalam bidang Sains Sukan dan Perubatan Sukan bagi meningkatkan kualiti dan kompetensi pegawai-pegawai di peringkat negeri. Bekerjasama dengan Institusi-Institusi Profesional dalam bidang berkaitan Sains Sukan dan Perubatan Sukan di peringkat negeri. Akhir sekali, membantu menyelaras program-program di peringkat negeri dari perspektif Sains dan Perubatan Sukan (Program Bakat, Sukan Teras, Pelapis, Program Mengenalpasti Bakat, ‘TID’, dan Program Kawalan Dadah). Pusat Satelit ISN Sarawak akan terus berjuang dan membantu atlit-atlit negeri ini dari aspek ketahanan fizikal mahupun mental dalam sukan. Ini semestinya terbentuk daripada acuan sains sukan hasil daripada adunan ISN yang tidak pernah jemu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada atlit seterusnya membantu mutu dan kualiti pembangunan sukan di negeri ini.

0 comments for this post

Post a Comment